50 unit darah diperlukan setiap hari

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Hari Penderma Darah Sedunia diraikan di seluruh dunia pada 14 Jun yang mana ia dihasratkan untuk meraikan para penderma sukarelawan yang menderma darah untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan ganjaran.

Pada masa yang sama, ia juga sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai perlunya untuk menderma darah di mana kira-kira 118.4 juta pendermaan darah dikumpulkan di seluruh dunia.

Di Negara Brunei Darussalam, lebih 50 unit darah diperlukan setiap hari dan jumlah darah yang berjaya dikumpulkan di Brunei setiap tahun keseluruhannya ialah kira-kira 19,000 unit serta jumlah penderma darah kerap adalah kira-kira 12,700 orang.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menderma darah, Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam dan Pusat Pendermaan Darah, Kementerian Kesihatan, pada 14 Mei lalu, telah melancarkan Kempen Drop Your Blood Letters.

Menerusi kempen itu, ia diharap akan dapat menyaksikan peningkatan jumlah penderma darah terutamanya dalam bulan Ramadan apabila simpanan darah adalah rendah.

Kempen itu mengalu-alukan orang ramai, syarikat dan organisasi untuk mengambil bahagian dalam kempen berkenaan dengan memuat naikkan gambar organisasi mereka tanpa menyatakan jenis darah sama ada A, B dan O di media sosial.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay melahirkan perasaan amat gembira dengan sambutan yang sungguh menggalakkan daripada orang ramai terhadap kempen berkenaan yang menyaksikan penyertaan daripada pelbagai syarikat, organisasi dan individu yang sama-sama tampil ke hadapan menyokong kempen itu.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kempen itu di mana kira-kira 93 buah syarikat dan individu mengambil bahagian serta menempah untuk menderma darah dan memberikan maklum balas yang positif mengenai pengalaman menderma darah mereka.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, berikutan dengan pelancaran kempen berkenaan, sebanyak 1,301 pain darah telah berjaya dikumpulkan dan seramai 255 orang penderma darah baharu telah mendaftar untuk menderma darah buat kali pertama.

TYT Richard Lindsay serta isteri menderma darah bagi menyokong Kempen Drop Your Blood Letters pada Mei lalu. – Gambar serahan Kem. Kesihatan