Tuesday, November 28, 2023
25.3 C
Brunei

    -

    500 hadiri Persidangan Hari Guru

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kira-kira 500 orang guru dan pensyarah dari sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pusat tingkatan enam di sektor kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), institut tahfiz, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan institusi-institusi pengajian tinggi telah menghadiri Persidangan Hari Guru di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Dengan tema Membentuk Ekosistem Pendidikan yang Berdaya Tahan, persidangan bertujuan untuk menyediakan platform bagi para guru berkongsi dan membincangkan penemuan penyelidikan serta pandangan berdasarkan bukti mengenai amalan inovatif terkini untuk meningkatkan prestasi guru dan pelajar dalam usaha membina ekosistem pendidikan yang berdaya tahan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan persidangan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Penolong Profesor dan Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi bersama menjelaskan, persidangan adalah salah satu inisiatif dan komitmen penganjur untuk memastikan dan memperkasa ekosistem yang berdaya tahan, relevan dan inklusif.

    “Persidangan ini juga meru-pakan sebuah landasan bagi guru-guru untuk berkongsi dan membincangkan pemikiran terkini dan amalan terbaik, dengan tujuan meningkatkan prestasi guru-guru, pelajar, dan kualiti pendidikan,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bersama tetamu yang lain. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Menurut beliau, persidangan ini akan mengetengahkan 12 subtema, berbanding tahun lepas, hanya empat subtema.

    Beliau seterusnya berharap, para peserta akan dapat meningkatkan pengetahuan dalam subtema utama yang berkaitan dan penting dalam membentuk kualiti guru dan kompetensi pengajaran yang berkesan dalam menyokong pembangunan ekosistem pendidikan yang berdaya tahan dan memacu rentak inovasi sistem pendidikan serta menyumbang kepada pencapaian kejayaan Wawasan Brunei 2035.

    Acara kemuncak persidangan adalah ucaptama bertajuk Data Speaks, PISA and Beyond: Facts, Myths and Implications for Teaching oleh Pro-Canselor dan Profesor Psikologi Pendidikan Choh-Ming Li di Chinese University of Hong Kong, Profesor Hau Kit-Tai.

    Kemudian acara menyaksikan Sesi Pleno bersama Pemangku Timbalan Raes KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha yang menyampaikan kuliah bertajuk Kualiti Guru dalam Perspektif Islam dan Hubung-kaitnya dengan Transformasi Pendidikan.

    Pada sebelah petang pula menyaksikan 57 pembentangan kertas kerja selari dan enam bengkel.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih dari 2 minggu, 41 pekerja terowong masih terperangkap

    NEW DELHI, 28 NOV - Pasukan penyelamat di India mula menggali secara manual kelmarin dengan harapan dapat mencapai 41 pekerja binaan yang terperangkap dalam...