Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    500 kali patah tulang pada usia enam tahun

    DIBEBANi penyakit Osteogenesis Imperfecta Type Three telah menyebabkan tulang Reiko Quinlan patah namun bibirnya masih mampu mengukir senyuman kepada ibunya.

    Tangan kiri kanak-kanak lelaki berambut perang itu dibalut kemas dan dia tidak dibenarkan bermain dengan kanak-kanak seusianya yang lain. Hal ini kerana tulang tangan kirinya patah selepas dia terjatuh ketika bermain.

    Reiko Quinlan, 6, menghidap sejenis penyakit aneh yang dikenali sebagai Osteogeneses Imperfecta Type Three yang menyebabkan tulangnya menjadi amat rapuh.

    Pada masa ini, penyakit ini telah menyerang kira-kira 20,000 orang kanak-kanak di seluruh dunia. Penyakit yang juga dikenali sebagai ‘sindrom tulang rapuh’ itu juga menyebabkan tulang Quinlan sudah patah sehingga 500 kali biarpun dia baru berusia enam tahun.

    Menurut ibu kanak-kanak itu, Jessica, 31, tulang anaknya sudah patah sebanyak lima kali sebaik sahaja dia lahir dan lebih 80 kali semasa baru berusia setahun.

    Menurut Jessica, tulang anaknya sudah patah sebanyak lima kali sebaik sahaja dia lahir dan lebih 80 kali semasa baru berusia setahun.
    Reiko Quinlan bersama ibunya, Jessica.
    Sebagai langkah berjaga-jaga, Jessica sentiasa memastikan anaknya itu berada di rumah. Quinlan hanya dibenarkan untuk bermain permainan video bersama abangnya. Kanak-kanak ini dikatakan cukup meminati sukan bola sepak, namun sedar bahawa keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

    “Sejujurnya, semasa Quinlan baru lahir, saya khuatir dia tidak boleh hidup lama memandangkan tulangnya cukup rapuh.

    “Saya bersyukur hayatnya panjang dan dia juga seorang kanak-kanak yang cukup menyenangkan,” tutur Jessica.

    Menurut Pengerusi Badan Penasihat Yayasan Osteogeneses Imperfecta di Philadelphia, Amerika Syarikat, Dr. Francis Glorieux, penyakit itu disebabkan oleh kecacatan kandungan kolagen dalam tulang.

    “Kolagen membantu mengeraskan tulang supaya ia boleh berfungsi dengan normal.

    “Dalam beberapa kes, batang besi akan dimasukkan ke dalam lengan dan kaki pesakit bagi membantu anggota badan mereka menjadi tegak biarpun selepas tulang patah,” ujarnya.

    Bercerita lanjut, Jessica berkata, penyakit Quinlan menyebabkan dia perlu sentiasa memastikan anaknya itu berada dalam keadaan yang selamat.

    “Tulang anak lelaki saya terlalu rapuh dan akan retak serta patah biarpun dia tidak melakukan kerja berat.

    “Pernah satu ketika, Quinlan meletakkan sebelah tangan di atas bahu abangnya dan tulangnya terus patah.

    “Dia juga pernah menoleh kepalanya ke belakang untuk senyum kepada saya dan saya terdengar bunyi tulangnya yang sudah retak,” tutur Jessica.

    Kanak-kanak itu hanya perlu duduk diam dan tidak boleh melakukan terlalu banyak pergerakan. Ini menyebabkan Quinlan berasa sedih memandangkan dia mahu bermain sama seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

    Quinlan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda bagi mengelak tulangnya patah.

    Jelas Jessica, buat masa ini, penyakit Quinlan masih belum ada penawar, namun kecederaannya boleh dikurangkan dengan memasang batang besi pada tulang.

    “Doktor terpaksa memasang batang besi yang panjang pada tulang Quinlan bagi membolehkan dia bergerak seperti kanak-kanak normal.

    “Sehingga kini, anak saya sudah menjalani 11 pembedahan bagi membaiki tulangnya yang patah,” jelas Jessica.

    Begitu pun, cerita Jessica, tidak semua keadaan menyebabkan tulang kaki anaknya retak dan patah. Kadang kala, tulang Quinlan akan patah hanya apabila dia duduk di atas kerusi.

    Begitu pun, adakalanya, tiada apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu biarpun kakinya terlanggar dinding rumah.

    Begitu pun, sebagai langkah berjaga-jaga, Jessica sentiasa memastikan anaknya itu berada di rumah. Quinlan hanya dibenarkan untuk bermain permainan video bersama abangnya. Kanak-kanak itu dikatakan cukup meminati sukan bola sepak, namun sedar bahawa keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

    Kini, Jessica berharap agar keadaan anaknya itu akan semakin pulih sebaik sahaja dia meningkat dewasa. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda