Oleh Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya, Siti Nur Wasimah S. & Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Kira-kira 500 orang mualaf dari keempat-empat daerah, hari ini, telah menyertai Majlis Junjung Ziarah ke Istana Nurul Iman sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan turut disertai oleh Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan PDI dan unit dakwah daerah-daerah.
Majlis seumpama ini merupakan aktiviti tahunan PDI sebagai salah satu metode dakwah dalam sama-sama mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara Islam amnya dan khususnya di antara warga PDI dan para mualaf.
Ia juga antara lain bertujuan untuk memberikan peluang kepada para mualaf khususnya yang datang dari pedalaman untuk merasakan dan melihat lebih dekat lagi suasana kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sejurus selesai Majlis Junjung Ziarah bagi menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain di Istana Nurul Iman, rombongan mualaf berkenaan dibahagikan kepada enam kumpulan untuk membuat kunjungan berhari raya ke rumah-rumah orang kenamaan.
Rombongan seramai 80 orang mualaf dari Daerah Temburong telah berkunjung ke kediaman Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud di Kampung Sungai Hanching.


Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Pegawai Ugama Kanan PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman berkenaan telah dialu-alukan sendiri oleh Dato Paduka Haji Abdul Mokti dan isteri, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar.
Di majlis itu, Yang Di-Pertua Persatuan Sau-dara Baru (PESAT) Temburong, Awang Mohd Fadzil bin Mohd Kassim yang juga Penolong Pegawai Perkembangan Agama di Unit Dakwah Daerah Temburong telah menyampaikan terima kasih dan berbangga atas layanan yang sangat baik serta bergembira atas jemputan berkenaan.
Majlis kunjungan berhari raya tersebut juga telah diserikan dengan Dikir Marhaban.


Rombongan seramai 90 orang mualaf dari Kampung Bebuloh pula telah membuat kunjungan ke kediaman Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, di Kampung Batu Ampar.
Rombongan diketuai oleh Pemangku Ketua Bahagian Pentadbiran PDI, Hajah Rasiah binti Haji Taib.
Salah seorang ahli rombongan yang ditemui, Dayang Alya Nafisah binti Hidup menyatakan bahawa beliau telah memeluk agama Islam selama 12 tahun dan ini merupakan kali ketiga beliau menyertai kunjungan berkenaan bersama rombongan yang lain.
“Saya merasa amat gembira kerana diberikan peluang untuk beraya bersama rombongan ini dan dapat merasa sendiri kemeriahan beraya bersama saudara-saudara baru dan juga berkesempatan untuk mengadap dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja,” ujarnya.
Kumpulan ketiga terdiri daripada 60 orang mualaf dari Daerah Tutong pula telah berkunjung ke kediaman Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah, di Kampung Kilanas.
Rombongan diketuai oleh Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah PDI, Hajah Zunainah binti Haji Gunong.
Kumpulan keempat seramai 60 orang mualaf daripada Persatuan Nurul Islam (PNI) yang diketuai oleh Ketua Bahagian Media, PDI, Hajah Rosinah binti Haji Mansor pula telah membuat kunjungan ke kediaman Pengarah Perundangan Islam, Awang Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Manakala itu, Pemangku Pengarah PDI berkesudian menerima kunjungan kumpulan kelima yang terdiri daripada 55 orang mualaf Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) yang diketuai oleh Ketua Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI, Awang Ali Hassan bin Haji Mohd Said.


Kumpulan keenam yang terdiri daripada 100 orang mualaf dari Daerah Belait pula telah berkunjung ke kediaman Pengarah Pentadbiran di KHEU, Haji Zulkifli bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.
Rombongan diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah.

