5,000 dikuarantin selepas kluster hospital muncul

TAIPEI, TAIWAN, 26 JAN – Pihak berkuasa kesihatan di Taiwan mengenakan kuarantin ke atas 5,000 orang tatkala usaha untuk mengesan kontak rapat dua kes koronavirus baharu yang dikaitkan dengan hospital terus dijalankan.

Pegawai kelmarin berkata bahawa mereka belum dapat mengenal pasti bagaimana suami dan isteri itu dijangkiti selepas keberadaan mereka di Hospital Taoyuan, yang terletak di bandar Taoyuan tepat di luar ibu kota Taiwan.

Lelaki itu telah ditahan di hospital selama tiga hari kerana masalah kesihatan yang tidak berkaitan dengan COVID-19, sementara isteri lelaki itu menjaganya semasa di hospital tersebut.

Mereka yang diarahkan untuk menjalani kuarantin termasuk pesakit yang keluar dari hospital antara 6 hingga 19 Januari dan penjaga mereka.

Taiwan berada dalam keadaan lebih berwaspada selepas kluster domestik terbaharu, yang kini menyaksikan 15 kes dari hospital di Taoyuan.

Taiwan mendapat pujian atas usahanya kerana berjaya mengekang penularan COVID-19, dengan hanya tujuh kematian dan kurang dari 900 kes yang disahkan, walaupun berhampiran dengan China, di mana pandemik itu mula dikesan.

Sementara itu, media kerajaan China telah menimbulkan kekhuatiran mengenai tahap keselamatan vaksin Pfizer COVID-19, walaupun terdapat ujian yang ketat yang menunjukkan ia selamat. – AP

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung dilihat berjalan di sebuah pasar di Taipei, Taiwan pada 25 Januari lalu. – AFP