5,000 pelajar terima dos pertama

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Kira-kira 5,000 orang pelajar menerima suntikan vaksin mereka di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK) bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun yang bermula hari ini secara serentak di keempat-empat buah daerah.

PVK bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun itu melibatkan seramai 38,201 orang pelajar di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan sekolah-sekolah swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa. Program itu adalah sebagai mempertingkatkan usaha dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam program vaksinasi kepada mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun yang majoritinya adalah terdiri daripada golongan pelajar. Pelajar-pelajar berumur 12 tahun hingga 17 tahun akan menjalani program vaksinasi berkenaan di mana ia meliputi pelajar sekolah-sekolah kerajaan, sekolah-sekolah swasta, institusi pendidikan tinggi dan pelajar-pelajar berkeperluan khas di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Arab di bawah kawalan KHEU.

Program vaksinasi berkenaan dijalankan di keempat-empat daerah dan dijalankan di pusat-pusat vaksinasi mengikut jadual sekolah yang telah ditetapkan.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, ia dikendalikan di empat lokasi iaitu Stadium Tertutup untuk Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Universiti Brunei Darussalam bagi Sekolah Menengah Katok, MRS Bolkiah (Angkatan Bersenjata Diraja Brunei) bagi Sekolah Rendah Pulaie, Sekolah Rendah Anggerek Desa, Sekolah Rendah Delima Satu, Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sekolah Rendah Amar Pahlawan, Sekolah Ren-dah Kampung Mata-Mata dan Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar serta Pusat Kesihatan Jubli Emas, Bunut bagi Sekolah Menengah Sayyidina Hasan.

Bagi Daerah Tutong ia dikendalikan di Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong iaitu untuk Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang 2, Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Sekolah Rendah Danau, Sekolah Rendah Bakiau, Sekolah Rendah Batang Mitus, Sekolah Rendah Birau, Sekolah Rendah Kiudang, Sekolah Rendah Orang Kaya Ali Wanika Setia Diraja Kupang, Sekolah Rendah Sinaut serta Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima suntikan vaksin COVID-19 semasa Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Pelajar Berumur 12 hingga 17 tahun, kelmarin.
Salah seorang pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima suntikan vaksin Pfizer di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Guru-guru memeriksa dokumen pelajar sebelum memasuki pusat vaksinasi di Stadium Tertutup.

Bagi Daerah Belait, ia diadakan di dua lokasi iaitu Pusat Pembelajaran dan Pembangunan (LDC), Hospital Suri Seri Begawan untuk Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin, Sekolah Kuala Belait, Sekolah Rendah Sungai Teraban, Sekolah Rendah Pe-ngiran Setia Negara Pengiran Mohammad Yusof serta Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin dan Klinik Kesihatan Panaga untuk Sekolah Panaga.

Bagi Daerah Temburong, ia diadakan di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Pekan Bangar untuk Sekolah Menengah Sultan Hassan, Sekolah Rendah Rataie, Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar, Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Sekolah Rendah Semabat, Sekolah Rendah Amo, Sekolah Rendah Negalang, Sekolah Rendah Labu Estate, Sekolah Rendah Puni, Sekolah Rendah Selangan, Suria Jaya Kindergarten School, Pai Yuek School, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Politeknik Brunei.

Media Permata yang membuat tinjauan di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup berpeluang untuk menemu bual ringkas seorang ayah, Awang Norazlan bin Haji Othman yang membawa anaknya, pelajar Tahun 7A Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Awang Danial Aiman Norazlan untuk mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech.

Menurut Awang Azlan, anaknya amat teruja berpeluang untuk menerima suntikan vaksin dos pertama kerana ia merupakan langkah pertama baginya untuk kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka secara berperingkat pada 2022.

Beliau menambah, proses pendaftaran hingga ke proses suntikan vaksin berjalan secara teratur dan lancar di mana borang kebenaran, soalan saringan telah diberikan oleh guru kelas sebelum vaksinasi itu dilaksanakan dengan senarai barang yang perlu dibawa semasa hadir bagi suntikan.