BAGHDAD, 5 MEI – Seorang maut dan lebih daripada 5,000 penduduk Iraq dikejarkan ke hospital dengan penyakit pernafasan hari ini disebabkan ribut pasir, yang ketujuh membadai negara sejak sebulan lalu, kata media negeri.
Penduduk di enam daripada 18 wilayah Iraq, termasuk Baghdad dan rantau barat Al-Anbar, sekali lagi mengalami debu tebal yang menyelubungi bandar.
Pihak berkuasa di wilayah Al-Anbar dan Kirkuk, utara ibu negara, menggesa penduduk supaya tinggal dalam rumah, kata agensi berita INA.
Hospital di wilayah Al-Anbar telah menerima lebih 700 pesakit dengan masalah pernafasan, kata Anas Qais, pegawai kesihatan yang dipetik INA.
Wilayah tengah Salaheddin melaporkan lebih 300 kes, sementara wilayah tengah Diwaniya dan wilayah Najaf, selatan Baghdad, masing-masing mencatat kira-kira 100 kes, tambah agensi berita.
Iraq mudah terdedah kepada perubahan iklim, setelah mengalami turunan hujan yang amat rendah dan suhu tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan.
Pada November lalu, Bank Dunia mengingatkan Iraq mungkin mencatat kemerosotan 20 peratus dalam sumber air menjelang 2050 disebabkan masalah perubahan iklim.
Awal April tahun ini, pegawai kerajaan juga telah mengeluarkan amaran bahawa Iraq mungkin berdepan ‘debu selama 272 hari’ dalam setahun pada dekad akan datang. – AFP