YANGON, 10 NOV – Hampir 50,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di utara Myanmar selepas pakatan kumpulan bersenjata etnik melancarkan serangan terhadap tentera dua minggu lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Pertempuran telah berlaku selama dua minggu di seluruh negeri Shan utara berhampiran sempadan China, di mana menurut penganalisis telah menimbulkan cabaran ketenteraan terbesar kepada junta sejak ia merampas kuasa pada 2021.
Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA) berkata mereka telah merampas puluhan pos tentera dan menyekat laluan perdagangan penting ke China.
“Sehingga 9 November, hampir 50,000 penduduk di utara Shan telah dipaksa berpindah,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam kemas kini.
Di luar perbandaran Lashio di negeri Shan tempat markas komando timur laut tentera – perkhidmatan internet dan telefon terganggu, menghalang tindak balas kemanusiaan ter-hadap pertempuran, kata UNOCHA.
Sekatan ke atas pengangkutan dan ketersediaan wang tunai menghalang usaha kumpulan kemanusiaan tempatan untuk menghulurkan bantuan, katanya.
Seramai 40,000 orang lagi telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran antara tentera dan pihak lawan di wilayah jiran Sagaing dan negeri Kachin sejak awal November, kata UNOCHA.
Tentera telah membuat sedikit ulasan mengenai serangan mengejut itu tetapi awal minggu ini presiden yang dilantik junta memberi amaran bahawa negara itu boleh ‘berpecah kepada pelbagai bahagian’ jika tentera tidak dapat ‘menguruskan’ pergolakan tersebut. – AFP
