500,000 pekerja teknikal diperlukan 12 tahun lagi

SIBU, 9 Ogos – Sarawak memerlukan kira-kira 500,000 pekerja teknikal  dalam tempoh 12 tahun akan datang kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg.

Katanya, jika dulu bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak begitu ditekankan namun sekarang ia telah menjadi keutamaan.

“Ini adalah inisiatif yang ditekankan dalam kerajaan baharu bagi meningkatkan “TVET Empowerment Committee” dan standard TVET di Malaysia.

“Bagi Sarawak, TVET  mempunyai dua matlamat utama iaitu menyediakan kemahiran dalam program pembangunan modal insan dan pensijilan serta  mempersiapkan rakyat Sarawak untuk menghadapi cabaran-cabaran ke arah Ekonomi Digital,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada perasmian Pameran Inovasi dan Teknologi Sarawak  (Saintex 2018 di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang negeri Datuk Seri Wong Soon Koh. Turut hadir Naib Canselor UCTS Prof Datuk Dr Khairuddin  Ab Hamid.

Abang Johari berkata, jika Sarawak gagal mengikuti peralihan industri 4.0 maka Sarawak akan jauh ketinggalan. “Oleh itu kerajaan akan memainkan peranannya dalam meningkatkan pendidikan TVET, sudah tiba masanya kita meninggalkan cara kerja yang lama dan digantikan dengan cara kerja yang baharu yang mengaplikasikan  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). – Bernama