51 kanak-kanak cedera disimbah asid

BEIJING, 12 NOV – Lebih 50 orang, kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan cedera selepas seorang lelaki menceroboh masuk dan menyimbah cecair asid di sebuah tadika di barat daya China, semalam.

Pihak berkuasa di bandar Kaiyun di wilayah Yunnan berkata seorang suspek lelaki berumur 23 tahun yang dikenali sebagai Kong, memasuki tadika terbabit dengan memanjat tombok bangunan sebelum menyimbah mangsa dengan cecair sodium hidroksida.

Katanya, serangan berlaku pada jam 3:35 petang semalam. Tambahnya, kira-kira 51 kanak-kanak dan tiga guru sudah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Dua mangsa dilaporkan mengalami ‘gejala teruk’.

Difahamkan polis berjaya memberkas Kong, kurang sejam selepas serangan itu berlaku.

“Akibat ibu bapa bercerai semasa zaman kanak-kanak, kurang kasih sayang keluarga berkemungkinan menyebabkan suspek mengalami gangguan mental,” kata pihak berkuasa.

Serangan ganas dengan menyasarkan kanak-kanak sudah menjadi kebiasaan di China di mana beberapa insiden merbahaya yang membawa maut berlaku sejak beberapa tahun ini dengan membabitkan senjata seperti pisau. – AFP