51 mangsa tebusan terselamat

ROM, 21 Mac – Polis Itali semalam berjaya menyelamatkan 51 orang pelajar yang dijadikan tebusan oleh pemandu bas sekolah mereka, yang bertindak menyimbah bas itu dengan petrol dan membakarnya dalam membantah insiden kematian ke atas penghijrah di Mediterranean.

Sesetengah pelajar itu diikat dalam kejadian mencemaskan yang berlangsung selama 30 minit itu yang turut menyaksikan bas tersebut merempuh sebuah kereta namun semuanya tiba ke penghujung bersama tindakan pihak polis selepas salah seorang pelajar berkenaan berjaya mendapatkan bantuan dan tiada sesiapa pun antara mereka mengalami cedera serius.

“Ajaib, kejadian itu boleh menjadi pembunuhan beramai-ramai. Pihak polis bertindak dengan cemerlang, menyekat bas dan mengeluarkan kanak-kanak dari bas,” menurut pendakwa dari Milan, Francesco Greco.

Beberapa keping gambar menunjukkan kerangka bas dan kereta yang terbakar ketika membuat perjalanan menerusi sebatang jalan berdekatan Milan.

Pemandu itu, Ousseynou Sy, warganegara Itali berusia 47 tahun berasal dari Senegal menjelaskan ketika disoal siasat bahawa dia mahu “menarik perhatian mengenai kesan dari dasar penghijrahan,” menurut peguamnya.

Kesemua pelajar Tahun Dua sekolah menengah di Crema itu baru saja kembali dari riadah sukan dengan ditemani oleh tiga orang dewasa apabila pemandu bas itu secara tiba-tiba menukar laluan, dengan mengumumkan bahawa dia akan menjadikan kesemua mereka sebagai tebusan.

“Tiada sesiapa pun yang akan dapat keluar dari sini dengan selamat,” katanya, menurut beberapa orang pelajar.

Dua belas orang pelajar dan dua orang dewasa telah dikejarkan ke hospital setelah tersedut bau asap manakala pemandu yang diberkas itu juga diberikan rawatan setelah tangannya cedera akibat melecur. Unit anti pengganasan polis Milan telah ditugaskan untuk menyiasat insiden penahanan tebusan yang berakhir kira-kira 30 minit itu.

Bagaimanapun Sy tidak ada kaitan dengan pengganasan, kata ketua anti-pengganasan di pejabat pendakwa raya Milan, Alberto Nobili kepada sidang media dengan mengatakan dia ‘bertindak secara bersendirian.’ – AFP

Anggota bomba berada di lokasi kejadian ketika memadam kebakaran setelah seorang pemandu bas bertindak menjadikan 51 orang pelajar sekolah sebagai tebusan di Milan, Itali, kelmarin. – AP