51 maut, bas remuk

NAIROBI, 10 Okt – Lima puluh satu orang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terbalik dan seluruh bumbung tercabut dalam satu kemalangan di barat Kenya pada awal hari ini, menurut polis.

“Adalah dikesali kami telah kehilangan 51 orang,” beritahu ketua polis Kenya Joseph Boinnet kepada radio Capital FM.

Menurut polis, bas yang membuat perjalanan dari Nairobi ke barat bandar Kakamega dan membawa 51 penumpang.

Palang Merah Kenya menulis di Twitter bahawa ia telah terbalik. Bagaimanapun, lebih banyak maklumat mengenai punca kemalangan tidak dapat diperoleh.

Gambar dari tempat kejadian menunjukkan bas merah berada di bahagian tepi, di mana tempat duduk penumpang terdedah dan bumbung yang tercabut tercampak tidak jauh dari tempat kemalangan.

Berpuluh orang berlegar-legar di sekitar tapak kemalangan dan barangan bertaburan di merata tempat.

Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 3,000 orang mati setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di Kenya, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan angka tersebut mungkin mencecah 12,000.

Pada Disember 2017, 36 orang terbunuh dalam perlanggaran di antara sebuah bas dan sebuah lori.

Pada 2016, lebih daripada 40 orang terkorban apabila sebuah lori tangki minyak yang hilang kawalan merempuh kenderaan dan seterusnya meletup di lebuh raya yang sibuk. – AFP

Keadaan bas yang remuk selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kenya, di mana 51 penumpangnya telah terkorban. – AFP