51 sertai golf amal 4 penjuru

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seramai 51 orang pemain golf yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Kementerian Pembangunan, kakitangan dan mantan warga Kementerian Pembangunan, konsultan dan juga kontraktor-kontraktor menyertai Kejohanan Golf Amal 4 Penjuru Kementerian Pembangunan bagi Tahun 2019 yang diadakan hari ini, di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei, di Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada majlis penyampaian hadiah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir pada kejohanan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Lim Sui Kau Alice; serta ketua-ketua Jabatan di Kementerian Pembangunan.

Antara objektif penganjuran kejohanan berkenaan ialah bagi memupuk sikap dermawan dan prihatin kepada golongan yang memerlukan di mana Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menyerahkan sumbangan derma amal kepada dua badan amal iaitu Persatuan Orang Kurang Pendengaran dan Persatuan Sindrom Down.

Kejohanan yang diadakan juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pihak yang berkepentingan dalam industri pembinaan di samping menggalakkan cara hidup sihat dan aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti sukan.

Dalam kejohanan golf yang dikelolakan oleh Jabatan Kerja Raya itu juga turut disertai oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan sendiri.

Awang Suhaimi bin Ibrahim daripada pasukan Kementerian Pembangunan telah diumumkan sebagai johan keseluruhan gross sementara itu Han daripada HTG mewakili pasukan Kontraktor meraih tempat kedua manakala Awang Khairol Bakar dari Kementerian Pembangunan menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori berpasukan, juara menjadi milik pasukan Kementerian Pembangunan setelah berjaya membuat pukulan terendah sebanyak 496 pukulan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Haji Suhaimi ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang.