510 anak pokok ditanam

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk melindungi dan memelihara biodiversiti dan persekitaran semula jadi Negara Brunei Darussalam serta untuk menyokong Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) Strategi 2 mengenai Hutan, Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) menganjurkan Projek Penghutanan Semula ke-5 di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas.

Projek tersebut bertujuan meningkatkan penyerapan karbon semula jadi melalui penanaman hutan dan penghutanan semula dengan sasaran penanaman 500,000 pokok baharu menjelang tahun 2035.

Lebih daripada 65 sukarelawan dan kakitangan menyertai acara penanaman pokok yang merangkumi kakitangan dan pengurusan Hengyi, wakil dari Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), Jabatan Perhutanan dan Green Brunei.

Sebanyak 510 anak pokok berjaya ditanam di kawasan seluas 0.5 hektar semasa projek ini dijalankan. Lima spesies pokok, yang terdiri daripada Sepetir, Ru Runang, Selungsur, Resak dan Tulong dipilih untuk ditanam kerana spesies pokok tersebut cenderung bertahan hidup dalam keadaan tanah berpasir dan persekitaran kering Hutan Simpan Berakas.

Hutan Simpan Berakas dipilih sebagai lokasi untuk projek penanaman semula hutan memandangkan ia telah dikenal pasti sebagai kawasan yang merosot akibat kebakaran hutan yang menjejas teruk pokok-pokok di hutan simpan. Lokasi itu juga dipilih sebagai sebahagian daripada tumpuan BNCCP untuk memulihkan kawasan yang rosak melalui penghutanan semula dan penanaman semula hutan.

Projek penghutanan semula dilancarkan oleh Hengyi pada Mei 2019 dan hingga kini, sebanyak 3,010 anak pokok telah ditanam di tanah seluas tiga hektar. Hengyi telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan anak pokok yang ditanam dapat tumbuh dengan baik.

Selain itu, Hengyi juga melancarkan projek penghutanan semula dengan janji untuk menanam pokok merangkumi kawasan seluas 200 hektar untuk menyokong komitmen Negara Brunei Darussalam di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), dan Perjanjian Paris dan Rangka Kerja PBB Konvensyen Perubahan Iklim (UNFCCC) melalui Program Pengurangan Pelepasan dari Penebangan Hutan dan Kerosakan Hutan (REDD +).

Para peserta mengambil bahagian dalam penanaman pokok di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas baru-baru ini.