Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Murid pra agama mula sesi persekolahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Murid-murid Pra sekolah agama di keempat-empat daerah telah mendaftar bagi penggal baharu persekolahan tahun 1444H / 2023M, kelmarin.

    Hadir menyaksikan sesi pendaftaran kemasukan murid-murid Pra di Sekolah Ugama Bengkurong dan seterusnya di Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut menyertai rombongan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar, dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pengajian Islam (JPI).

    Rombongan dialu-alukan oleh guru besar sekolah-sekolah berkenaan, iaitu Guru Besar Sekolah Ugama Bengkurong, Hajah Sarimah binti Haji Bakir, dan Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Bengkurong, Haji Kamirulazman bin Haji Kula.

    Pengisian lawatan kerja Yang Berhormat Pehin, antaranya lawatan ke kelas-kelas murid-murid pra, berinteraksi bersama murid-murid dan para ibu bapa, seterusnya sesi taklimat yang disampaikan oleh guru besar sekolah.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berinteraksi dengan murid Pra di salah sebuah sekolah.

    Pada tahun ini, jumlah keseluruhan murid dari Pra hingga Darjah IV di Sekolah Ugama Bengkurong adalah 120 orang pelajar manakala di Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malek, Bengkurong dari Pra hingga Darjah VI sesi petang adalah 178 orang.

    Jumlah keramaian murid di sekolah-sekolah agama seluruh negara pula adalah seramai 5,161 orang dengan 3,768 orang di Daerah Brunei dan Muara, 597 di Daerah Tutong, 705 di Daerah Belait dan 91 orang murid di Daerah Temburong.

    Persekolahan agama sebagai satu aliran khas dalam sistem persekolahan telah mula ditubuhkan pada 16 September 1956 yang merupakan legasi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah memperkenankan supaya pelajaran agama di sekolah-sekolah di negara ini diadakan secara berasingan dengan tidak bercampur dengan pelajaran-pelajaran yang lain.

    Secara umum, pelajaran dan pendidikan agama di negara ini adalah dihasratkan untuk mencapai dua tujuan besar iaitu untuk menanam dan memupuk kefahaman tentang agama Islam serta menanamkan roh keagamaan dan kebiasaan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam diri setiap orang kanak-kanak dan juga masyarakat umum.

    Selain itu, untuk menyediakan tenaga-tenaga yang dapat mengislamkan dan mengekalkan keislaman semua perkara yang terdapat dalam kehidupan masyarakat dan negara.

    Manakala itu, tujuan khusus penubuhannya adalah untuk mendidik kanak-kanak faham, percaya dan mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam, mengajar supaya kesedaran beragama dijiwai kanak-kanak, memimpin kanak-kanak supaya minat ajaran-ajaran agama hingga dewasa, dan membentuk budi pekerti kanak-kanak supaya taat dan patuh berasaskan ajaran-ajaran Islam.

    Di samping itu, ia juga melatih dan mengasuh kanak-kanak mengerjakan suruhan dan menjauhi larangan Allah, dan mendidik kanak-kanak supaya bertanggungjawab kepada negara dan bangsa berdasarkan ajaran-ajaran agama Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...