52 pasangan diijab kabul sebelum PKP di Tawau

TAWAU, 13 JAN – Seramai 52 pasangan di Tawau selamat diijabkabulkan semalam oleh enam jurunikah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini, selama 14 hari.

Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, Kahar Sundu berkata kesemua pasangan itu dinikahkan sehingga 11:30 malam tadi di pejabat JHEAINS, Jalan Kuhara di sini.

Kahar berkata prihatin pada pasangan yang sepatutnya bernikah dalam tempoh PKP itu, JHEAINS Tawau mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada pasangan terlibat untuk diijab kabul lebih awal.

“Kami ingin memudahkan urusan pernikahan kesemua pasangan ini kerana dalam tempoh PKP, semua urusan pernikahan ditangguhkan kecuali kerja pentadbiran.

Saya meminta jurunikah menghubungi pasangan berkenaan dan hampir 90 peratus bersetuju dan hadir untuk proses lafaz akad nikah,” katanya ketika ditemui di Pejabat JHEAINS malam tadi.

Menurutnya, rata-rata pasangan yang bernikah itu berumur di bawah 30 tahun dan merupakan perkahwinan pertama, mereka hadir ke pejabat JHEAINS bersama wali masing-masing. – Bernama

Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan di Bulatan Kampung Titingan, Tawau bagi memastikan setiap individu mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kelmarin. – Bernama