52 Pelajar sertai program curahan ilmu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Bagi memberikan bantuan kepada pelajar yang memerlukan, seramai 52 pelajar Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun ini telah diberi peluang untuk menyertai Program Curahan Ilmu.

Hadir bagi menyempurnakan pelancaran program yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah (SR) Dato Mohd Yassin, Mukim Mentiri itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Program kali ketiga ini merupakan inisiatif dan anjuran Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Majlis Perundingan Kampung Rancangan Perumahan Negara Panchor Mengkubau, Teachmeguru dan Kelab Komuniti Belia Transformasi.

Semasa program tersebut, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa program yang bermula sejak 2018 ini merupakan satu langkah yang mempunyai impak besar ke arah meningkatkan prestasi pelajar-pelajar daripada golongan yang tertentu dan yang memerlukan bimbingan secara inklusif.

“Kejayaan pada tahun 2019 telah terbukti dengan keputusan cemerlang yang diraih oleh pelajar-pelajar yang mengikuti program ini,” tambahnya.

Sementara Ketua Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Dayang Fatimah binti Haji Jamil menjelaskan para pelajar yang terpilih adalah kanak-kanak dari 11 buah kampung di daerah ini.

Pelajar yang mengikuti pembelajaran tuisyen ini dibahagikan kepada empat kumpulan, di mana pembelajaran akan diadakan setiap hari Jumaat dan Ahad.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan peralatan sekolah kepada pelajar.