52 pelajar St John terima sijil, penghargaan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 27 NOV – Sejumlah 52 pelajar Tahun 11 diraikan dalam Majlis Graduasi Sekolah St John, Kuala Belait yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut baru-baru ini.

Majlis meraikan kejayaan pelajar dalam peperiksaan ‘O’ Level sekali gus menandakan berakhirnya sesi persekolahan mereka dengan Sekolah St John kerana selepas itu, mereka akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Majlis graduasi turut diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pengawas Tahun 11 bagi mengiktiraf usaha mereka memberikan sokongan dan bantuan kepada sekolah dalam menjalankan pelbagai aktiviti.

Guru Besar Sekolah, Dr Teh Keng Watt semasa berucap pada majlis itu melahirkan penghargaan kepada sokongan, kerjasama dan kerja keras oleh ibu bapa, guru dan para pelajar.

“Semua sumbangan ini membawa kepada kejayaan penting dalam pencapaian akademik pelajar Tahun 11,” katanya, mengucapkan tahniah kepada pelajar bagi pencapaian akademik mereka dan berharap mereka berjaya pada masa depan.

Manakala Pengerusi Sekolah St John, Lee Yin Fah dalam ucapan mengatakan majlis menandakan berakhirnya fasa penting dalam kehidupan pelajar dan permulaan fasa baharu dalam mengejar pendidikan.

Beliau berharap pelajar akan dapat mengimbas semula kenangan di sekolah itu dan menjadikannya sebagai sebahagian keluarga mereka, bagi memastikan mereka membesar dan membina asas dengan sikap holistik.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar oleh pengerusi lembaga pentadbiran dan guru besar serta sijil penghargaan kepada pengawas Tahun 11 dan diakhiri dengan persembahan nyanyian.

Gambar ramai warga sekolah dan para pelajar yang diraikan. – Gambar serahan Sekolah St John