TUXTLA GUTIERREZ, MEXICO, 10 DIS – Sekurang-kurang 53 migran maut semalam, apabila trak dinaiki melanggar tembok dan terbalik di Chiapas yang juga titik transit utama bagi mereka yang mengunjungi Amerika Syarikat (AS).
Lebih 50 lagi mengalami kecederaan, termasuk tiga parah, menurut laporan awal pejabat pendakwa raya di Chiapas yang terletak bersempadan dengan Guatemala.
Pegawai perlindungan awam pula memberitahu pemberita, lebih 200 migran terbabit didapati berasak-asak di dalam trak berkenaan.
“Berdasarkan maklumat mangsa yang terselamat, kebanyakan daripada mereka adalah dari Guatemala,” kata Pengarah Perlindungan Awam Chiapas, Luis Manuel García.
Trak itu dikatakan dipandu dengan laju sebelum hilang kawalan ketika melalui lebuh raya yang menghubungkan bandar Chiapa de Corzo dengan ibu negeri Chiapas, Tuxtla Gutierrez.
Pemandu trak berkenaan didakwa melarikan diri dari tempat kejadian sejurus kemalangan itu. Rakaman disiarkan saluran televisyen tempatan menunjukkan ramai anggota bomba dan ahli pasukan penyelamat lain bersama ambulans dikerahkan ke lokasi.
Gabenor Chiapas, Rutilio Escandon, berkata mangsa yang cedera harus diberi perhatian dan bantuan sewajarnya, manakala siasatan dilancarkan. Sementara itu Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan insiden itu sebagai ‘amat menyayat hati.’ – AFP