53 pain darah dikumpul pada hari pertama

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

TUTONG, 17 JUN – Sejumlah 53 pain darah telah berjaya dikumpulkan semasa hari pertama kempen derma darah yang dianjurkan oleh Sukarelawan Belia dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan  Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Dewan Utama Kemasyarakatan, Daerah Tutong, hari ini.

Antara yang hadir pada kempen berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Ketua Pusat Operasi Bahagian Kemasyarakatan, Sukarelawan Belia, Awang Mohammad Ashmeer bin Imtiaz Ahmad ketika ditemui pihak media menjelaskan bahawa kempen yang diadakan selama dua hari itu bertujuan untuk membantu menambahkan tabung darah bagi mereka yang memerlukan dan memenuhi misi Pusat Pendermaan Darah bagi memastikan ketersediaan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa diamalkan di sepanjang kempen berlangsung, inisiatif penggunaan slot turut digunakan yang mana setiap slot selama kira-kira 30 minit hanya akan membenarkan 10 hingga 15 orang penderma sahaja mengikut tempahan awal yang dilakukan melalui WhatsApp.

Selain itu, Awang Mohammad Ashmeer turut mengongsikan bahawa kempen seumpamanya telah diadakan di Daerah Temburong pada minggu lalu dan akan dilaratkan ke Daerah Belait pada 23 dan 24 Jun depan di Pusat Belia Kuala Belait dan seterusnya di Daerah Brunei dan Muara.

Ini adalah bagi memudahkan para penderma darah untuk berkunjung ke lokasi yang ditetapkan di setiap daerah.

Sementara itu, Yang Berhormat Awang Iswandy ketika ditemui memuji inisiatif yang diadakan pada hari ini serta menyarankan lebih ramai orang ramai datang bagi sama-sama menderma darah untuk membantu menambah bekalan tabung darah di Pusat Pendermaan Darah.

Penggunaan media sosial bagi memberigakan kempen berkenaan juga adalah antara yang dipuji Yang Berhormat Awang Iswandy dalam mempromosikan kempen tersebut sehingga mendapat respons yang positif daripada orang ramai. Yang Berhormat Awang Iswandy menambah bahawa media sosial boleh menjadi penyumbang untuk melakukan sesuatu yang baik seperti acara yang diadakan pada hari ini.

Yang Berhormat Awang Iswandy turut menyertai kempen menderma darah tersebut.
Antara penderma darah semasa hari pertama kempen tersebut.