Monday, August 15, 2022
23 C
Brunei

53 persatuan sukan kebangsaan sokong program anti-doping

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Majlis Penandatanganan Penerimaan Peraturan Anti-Doping Brunei Darussalam 2021 (BDADC) berlangsung hari ini secara maya, dihadiri oleh 53 buah persatuan sukan kebangsaan untuk memberikan persetujuan dan tandatangan melalui wakil persatuan sukan kebangsaan sebagai sokongan kepada program-program anti-doping di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Hadir pada majlis ialah Setiausaha Tetap, (Pentadbiran Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, selaku tetamu kehormat yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Anti-Doping Asia Tenggara Singapura, Gobinathan Nair, yang juga menyampaikan ucaptama yang menerangkan mengenai dengan dokumen World Anti-Doping Code (WADC) 2021 dan kepentingan pelaksanaan program pembelajaran anti-doping bagi setiap persatuan sukan kebangsaan di Negara Brunei Darussalam.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh wakil daripada Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam.

Majlis penandatanganan itu merupakan anjuran Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam, KKBS yang antara lain tujuan majlis ini adalah untuk memberi maklumat dan pengenalan mengenai WADC 2021 yang diguna pakai bermula 1 Januari 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam, antara lain menjelaskan pengemaskinian terkini bagi Kesalahan-kesalahan Anti-Doping (ADRV) iaitu daripada 10 kesalahan menjadi 11 kesalahan serta penambahan kepada Piawaian Antarabangsa bagi Pendidikan (ISE), Therapeutic Use Exemption (ISTUE) dan Results Management (ISRM).

“Dengan pengemaskinian tersebut Negara Brunei Darussalam melalui BDADC, telah mengemaskinikan Peraturan Anti-Doping Negara Brunei Darussalam 2015 kepada 2021,” jelasnya.

Selain itu, pengemaskinian peraturan ini juga telah dihadapkan ke WADA dan ianya telah disahkan selaras dengan WADC 2021 daripada Ketua Pengurus Pematuhan WADA, Emiliano Simonelli melalui e-mel bertarikh 25 Ogos 2020.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam melalui BDADC juga mengesahkan menerima Peraturan Anti-Doping Brunei Darussalam pada 26 September 2020.

Katanya lagi, “salah satu komitmen Negara Brunei Darussalam selaku ahli WADA adalah untuk menerima dan mematuhi WADC2021”.

“Mana-mana negara yang gagal berbuat demikian boleh digantung daripada sebarang penglibatan, penganjuran serta penyertaan bagi sebarang aktiviti dan kejohanan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa,” tegasnya.

Beliau seterusnya menambah, sebagai pematuhan dan komitmen negara kepada WADC 2021 dan Peraturan Anti-Doping Brunei Darussalam 2021, agensi-agensi sukan di negara ini juga perlu menerima dan mematuhinya dengan menandatangani penerimaan tersebut.

Selain itu, jelasnya, BDADC juga telah menghadapkan permohonan ke Pejabat Peguam Negara dalam meneliti Peraturan Anti-Doping Brunei Darussalam 2021.

Sehubungan itu, Pejabat Peguam Negara juga telah memberi maklum balas bahawa Peraturan Anti-Doping Brunei Darussalam 2021 adalah tidak bertentangan dengan undang-undang dan tiada halangan bagi pelaksanaannya.

Antara ahli-ahli persatuan sukan kebangsaan memberikan persetujuan dan tandatangan melalui wakil persatuan sukan kebangsaan secara maya itu. – Gambar serahan KKBS
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -