Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Seramai 53 orang pesara kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya menerima cenderamata pada Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang seterusnya menyampaikan cenderamata kepada para pesara.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Setiausaha Tetap (Fiskal dan Korporat), Hajah Chairani binti Haji Sulaiman selaku pengerusi majlis.
Antara lain objektif majlis adalah untuk memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan bagi menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan semasa bertugas di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Di samping itu, ia juga bagi mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan antara pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan yang masih berkhidmat.
Majlis telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.