55 cedera tunjuk perasaan bertukar ganas

SOFIA, 3 SEPT – Bantahan antikerajaan di Bulgaria yang berlangsung selama hampir dua bulan, akhirnya bertukar ganas semalam dengan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dipercayai termasuk pegawai polis dan wartawan serta hampir 100 individu telah ditahan.

Menurut pegawai hospital, mangsa yang cedera membabitkan 37 pegawai polis dan 18 lagi orang awam termasuk beberapa wartawan yang membuat liputan terhadap protes itu.

Bantahan itu juga menyebabkan polis di bahagian pencegahan rusuhan yang mengawal Parlimen Bulgaria turut diancam dengan bom asap, mercun dan batu oleh peserta bantahan.

Perhimpunan di luar bangunan Parlimen berlangsung dalam keadaan tegang atas bantahan draf bersifat kontroversi membabitkan perlembagaan baharu yang diusulkan dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan berpanjangan itu diadakan bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Boyko Borisov atas tuduhan rasuah dan melindungi golongan taikun.

Penganjur perhimpunan itu yang mengakui ia sepatutnya diadakan dalam keadaan aman bagaimanapun berkata, mereka tidak tahu siapa yang melemparkan peluru semasa keganasan itu.

Lebih daripada 100 butir bom asap dan mercun serta batu, botol dan objek lain dicampak ke arah polis yang mengawal dengan mengelilingi bangunan Parlimen selepas jam 9:30 malam. – AFP

Pembantah bertempur dengan polis semasa tunjuk perasaan antikerajaan di Sofia pada 2 September 2020. – AFP