Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    55 keluarga terima bantuan JAPEM

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan JAPEM

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seramai 55 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran rumah dan rumah roboh telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam daripada peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini.

    Bantuan kewangan berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad pada majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Majlis dimulakan dengan penyampaian bantuan kepada 51 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir diikuti dengan seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran dan tiga orang ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh.

    Menurut KKBS, rumah yang dimiliki oleh N Naryana Samy Dhanalakshimi di Jalan Keruak, Kampung RPN Panaga, Seria, Daerah Belait telah mengalami kerosakan di sebahagian sudut rumah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 Januari lalu. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Sepanjang Oktober hingga Disember 2022, 51 buah rumah telah dimasuki air yang melebihi paras satu kaki akibat kejadian banjir.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan bantuan.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai dengan penerima bantuan kewangan di Dewan Digadong, KKBS.
    Antara yang hadir bagi menerima bantuan daripada JAPEM, kelmarin.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 34 buah rumah yang terjejas adalah di Daerah Brunei dan Muara iaitu di kawasan Kampung Kapok, Kampung Kilanas, Kampung Junjongan, Kampung Mulaut, Kampung Burong Lepas, Jalan Haji Halus, Bunut Perpindahan dan Kampung Bunut.

    Manakala di Daerah Tutong, sebanyak 14 buah rumah terjejas iaitu di kawasan Kampung Rambai, Kampung Belunu Layong, Kampung Dong Layong, Jalan Tanjong Dengar, Kampung Pengkalan Dong Layong dan Kampung Kuala Abang, Layong.

    Di Daerah Belait pula, tiga buah rumah terjejas iaitu di kawasan Kampung Ratan, Labi 1, Ulu Belait dan Kampung Tunggulian, Sungai Liang. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Manakala mangsa tiga kejadian rumah roboh yang berlaku pada 6 Februari dan 10 Februari di Kampung Sungai Asam, Kampung Burong Pingai Ayer dan Kampung Setia A di Daerah Brunei dan Muara juga dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Bantuan kewangan yang dihulurkan adalah untuk meringankan kesusahan yang dialami demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...