Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Kedutaan Besar Thailand di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan kempen derma darah bagi komuniti dan warga Thailand di Negara Brunei Darussalam bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Raja Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua pada 28 Julai depan di samping dalam usaha membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama sekali pada waktu kecemasan.
Sebanyak 55 pain darah telah berjaya dikumpulkan semasa kempen yang dikendalikan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dari pukul 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga pukul 3:30 petang.
Hadir semasa kempen tersebut ialah bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai yang turut mendermakan darah sekali gus menggambarkan kesungguhannya dalam menyokong kempen mulia tersebut.
Pada kempen kali ini, Puan Yang Terutama turut berkesudian menyampaikan buah tangan sebagai tanda penghargaan kepada para penderma serta pegawai dan kakitangan di Pusat Pendermaan Darah, RIPAS atas kerja keras dan sumbangan yang tidak henti-henti serta dedikasi yang diberikan oleh mereka selama ini.
Kempen berkenaan merupakan kali yang keenam diadakan oleh kedutaan itu sejak mula dianjurkan pada 2019.