Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seramai 553 orang pelajar baharu telah mendaftar bagi sesi akademik 2023/2024 di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), hari ini.
Para pelajar berkenaan merupakan lepasan dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), Mahad Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan calon-calon persendirian yang telah lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) 2022M/1443H dan memenuhi syarat-syarat kelayakan.
SMALHB merupakan satu-satunya pra universiti Arab sebelum pelajar-pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu ke peringkat universiti. Daripada jumlah pelajar baharu tersebut, 277 orang mengikuti jurusan Syariah manakala 276 orang dalam jurusan Usuluddin.
Majlis pendaftaran yang berlangsung di Surau At-Taqwa dan Dewan Al-Azkiya SMALHB itu juga bertujuan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar baharu dan ibu bapa serta penjaga mereka tentang pentadbiran, akademik, hal ehwal pelajar dan kokurikulum sekolah.
Hari Pendaftaran berkenaan diselajurkan dengan sesi Taaruf dan Silaturahim agar pelajar-pelajar dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran sekolah yang baharu serta menjalinkan silaturahim sesama warga sekolah.
Acara telah dimulakan dengan Program Al-Iftitah iaitu menunaikan solat Dhuha, bacaan Selawat dan Sayyidul Istighfar, membaca Surah Yasin dan doa serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum pelajar-pelajar beredar ke kelas masing-masing.