CIANJUR, 21 NOV – Gempa bumi kuat dan cetek merobohkan bangunan dan dinding-dinding rumah di pulau padat penduduk, Jawa hari ini, meragut sekurang-kurangnya 56 nyawa dan mencederakan ratusan lagi yang lain.
Orang ramai bergegas ke jalan-jalan, sebahagiannya kelihatan berlumuran darah dan diselaputi serpihan-serpihan runtuhan.
Pekerja kecemasan merawat mereka yang cedera atas pengusung dan selimut di luar hospital utama, teres-teres rumah dan di tempat letak kereta. Ramai, termasuk kanak-kanak yang sebahagiannya dirawat menggunakan oksigen, titisan intravena dan bantuan pernafasan untuk menyedarkan semula mangsa.
“Saya pengsan, ia amat kuat,” kata Hasan, seorang pekerja pembinaan yang dirawat di Hospital Wilayah Cianjur. “Saya nampak rakan saya berlari meninggalkan bangunan, namun saya lambat keluar dan ditimpa dinding yang roboh.”
Penduduk, segelintirnya membawa anak yang bertangisan dalam dakapan mereka, melarikan diri dari rumah-rumah yang rosak selepas gempa bumi 5.6 magnitud menggegarkan kawasan Cianjur di wilayah Jawa Barat lewat petang tadi, pada kedalaman 10 kilometer (km). Ia juga mencetuskan kepanikan di kawasan lebih besar Jakarta apabila bangunan pencakar langit bergoncang dan sebahagiannya dikosongkan.
Pasukan penyelamat dan orang awam di Cianjur kini sedang mencari mangsa-mangsa lain tertimbus dalam serpihan runtuhan rumah batu-bata.
Herman Suherman, ketua agensi penyelamat Cianjur mengatakan angka kematian mencecah 56 setakat malam ini.
Sekitar 700 lagi cedera, kata Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Suharyanto.
Beberapa tanah runtuh turut dilaporkan di sekitar Cianjur manakala 25 gegaran susulan turut direkodkan, kata agensi itu. – AP