Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Kementerian Pendidikan mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap setiap tenaga pengajar baharu yang bakal memulakan karier sebagai guru dalam menerajui, mengemudi dan meningkatkan tahap mutu serta kualiti pendidikan negara.
Pada masa yang sama, mereka juga semestinya memartabatkan profesion perguruan sebagai kerjaya unggul dan disegani ramai, jelas Pemangku Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pembukaan Program Induksi bagi Tenaga Pengajar Baharu 2022 yang berlangsung di Dewan An-Najah, Institut Perkhidmatan Awam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Dalam ucapannya lagi, Dayang Masdiah berkata, “Adalah diharapkan semangat dan jiwa sebagai pendidik tidak akan luntur begitu sahaja, sentiasalah bersedia untuk mengalas amanah yang diberikan dengan penuh kesabaran dan kecekalan dalam menyemai bakti dan menabur budi dalam mengemudi perkembangan bidang pendidikan negara.”
Menurutnya, Kementerian Pendidikan akan sentiasa berusaha untuk memberi sokongan, bimbingan dan menyediakan peluang bagi para pendidik untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan daripada aspek pengajaran, pembelajaran dan perkembangan profesionalisme.
Seramai 56 orang tenaga pengajar menyertai program induksi yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di mana program bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada tenaga pengajar yang baru berkhidmat mengenai kerjaya sebagai pendidik dengan memberi bimbingan komprehensif supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja serta budaya sekolah dan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik.
Di samping itu, melalui program berkenaan, tenaga pengajar yang baharu juga akan mendapat ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aspek-aspek yang penting seperti peraturan-peraturan kerja sebagai penjawat awam yang mempunyai akhlak mulia dan etika kerja yang baik serta mengetahui hala tuju berkerjaya sebagai seorang pendidik yang komited dan berkualiti dalam mendukung visi dan misi Kementerian Pendidikan.
Program turut diisikan dengan beberapa taklimat yang disampaikan oleh ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan dan perkongsian daripada persatuan-persatuan.
Selain itu, para peserta juga akan mengikuti bengkel-bengkel yang akan dikendalikan oleh ketua-ketua kluster dari Jabatan Sekolah-sekolah.