565 jalani pengasingan diri, tiada kes baharu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19 dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal pada 142 orang dengan satu kes aktif dan jumlah kes yang sembuh kekal pada 138 orang serta tiga kematian.

Menurut kenyataan yang dikeluar-kan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 565 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 4,037 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 334 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 44,737 ujian. Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.