Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    566 kes baharu direkodkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam ialah 643 kes sehari, berbanding 649 kes sehari pada minggu sebelumnya.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar seterusnya mengongsikan, sebanyak 57,502 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 7.8 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

    “Pada hari ini, dua kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala tidak ada kes berada dalam kategori 4,” jelas beliau lagi semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menyentuh mengenai kadar liputan vaksinasi COVID-19, Yang Berhormat Dato berkata, sehingga kelmarin, ia kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.8 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.2 peratus juga mendapatkan dos keempat.

    “Pada hari ini, sebanyak 566 kes baharu telah dilaporkan iaitu 564 kes hasil ujian ART dan dua kes adalah hasil daripada 79 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyentuh mengenai trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) yang mana pada minggu lalu ianya terus menunjukkan penurunan.

    Beliau mengingatkan orang ramai untuk terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengasingkan diri jika mengalami tanda-tanda jangkitan dan mengelakkan dari tempat-tempat yang penuh sesak.

    “Segera berjumpa doktor jika tanda-tanda jangkitan berterusan atau semakin teruk.

    Dapatkan suntikan influenza, khususnya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan,” tekan beliau.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengumumkan kes harian di negara ini. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. – Gambar oleh James Kon
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...