SAN FRANCISCO, 11 Okt – Seramai 57 penduduk yang sebelum ini dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan di utara California ditemui selamat, kata seorang pegawai lapor agensi berita Xinhua.
Menurut Syerif Daerah Sonoma, Rob Giordano, mereka ditemui di sebuah daerah yang paling teruk terjejas, dengan penemuan itu menjadikan jumlah mangsa masih hilang berkurangan kepada 180 orang.
Beliau berkata, ramai yang hilang dilaporkan dari rumah penjagaan dan pasukan polis pada petang Selasa memulakan operasi mencari mangsa yang mungkin tertimbus akibat kejadian itu.
Setakat Selasa, seramai 15 orang dilaporkan terkorban dan ratusan lagi cedera akibat melecur dan terhidu asap.
Stesen televisyen tempatan KRON4 menyiarkan rakaman menunjukkan kemudahan perniagaan, bangunan hospital dan rumah musnah dijilat api.
Lebih 3,000 orang masih berada di tempat perlindungan memandangkan 20 kebakaran hutan yang bermula pada malam Ahad menyebabkan 115,000 ekar di seluruh California terbakar.
Sonoma Raceway, kawasan perlumbaan kereta utama di barat California seluas 50 ekar akan dijadikan tempat perlindungan kepada mangsa.
Puluhan ribu kediaman di Sonoma terputus bekalan elektrik dan kebanyakan sekolah terpaksa ditutup pada Selasa dan Rabu. – Bernama