57 kes baharu, satu lagi kluster dikesan di Sabah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Kes baharu COVID-19 hari ini mencatat sedikit peningkatan pada 57 kes berbanding 52 semalam, dengan 51 jangkitan tempatan dan enam kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,  Sabah kekal sebagai negeri yang mencatat kes tertinggi dengan 49 kes termasuk 14 kes daripada Kluster Pulau, 12 daripada Kluster Selamat, lima kes masing-masing daripada Kluster Benteng Lahad Datu dan kluster baharu iaitu Kluster Kuarters di Tongod.

Lain-lain ialah masing-masing dua kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Hospital Queen Elizabeth), saringan bergejala (Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Lahad Datu), saringan tahanan lokap di Beaufort, dan saringan pelatih pusat rehabilitasi.

Selain itu, satu kes masing-masing kes saringan prapembedahan, kes influenza-like illness, kes saringan kontak rapat, kes saringan petugas kesihatan (Lahad Datu) dan kes saringan rujukan ke Hospital Tawau

“Dua lagi kes tempatan melibatkan masing-masing satu kes daripada Kluster Sungai, Kedah yang melibatkan warganegara dan satu kes saringan pra pembedahan Hospital Kuala Lumpur yang melibatkan warga asing,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 hari ini. – Bernama