576 jalani pengasingan diri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Tiada kes jangkitan baharu COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 148 orang dan tidak ada kes yang aktif.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei iaitu 198 hari yang lalu, di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah tujuh kes.

Dalam siaran akhbar mengenai pengemaskinian status COVID-19 di negara ini, Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa seramai 576 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 8,135 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 400 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 75,069 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi Bruhealth.