ALOR GAJAH, 10 OGOS – Kira-kira 10 pengusaha inap desa di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dan kawasan sekitarnya mengalami kerugian ribuan ringgit dalam kejadian ribut yang melanda di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira 9:40 pagi itu, sebanyak 58 rumah daripada 56 keluarga termasuk rumah yang dijadikan inap desa di empat kampung iaitu, Kampung Pasir Gembor, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Balik Batu serta sebuah masjid terjejas susulan kejadian ribut itu.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang pengusaha inap desa Roslan Misbah, 54, berkata beliau berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian ribut melanda kawasan tersebut.
“Anak saya (Samsul Adli) kebetulan berada di homestay ini beritahu kawasan rumah dilanda ribut, malah sempat rakam kejadian itu. Tak sangka pukulan angin ribut kali ini sangat kuat hingga terbangkan bumbung inap desa kami,” katanya kepada Bernama.
Susulan dibadai ribut, Roslan yang mengusahakan inap desa bersama rakannya sejak dua tahun lepas berkata semua tempahan terpaksa dibatalkan bagi kerja-kerja pembaikan dan pembersihan.
Katanya antara kerosakan yang dialami ialah kerosakan pada bumbung, tilam dan perabot serta kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan pemanas air yang dianggarkan hampir RM8,000. – Bernama