580,000 wanita Myanmar hilang pekerjaan

MYANMAR, 1 OGOS – Dianggarkan 580,000 wanita di Myanmar hilang pekerjaan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang diterajui Aung San Suu Kyi, enam bulan lalu.

Kenyataan bersama mengenai kesan krisis politik dan kesihatan di Myanmar, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wanita di Myanmar memaklumkan golongan wanita dan remaja sukar mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan.

“Kini ada lebih 685,000 wanita hamil di Myanmar dan dianggarkan 250 nyawa ibu di ambang kematian jika mereka masih tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

“Tambahan pula, lebih lima juta remaja dan kanak-kanak (10 hingga 19 tahun) di Myanmar akan mengalami masalah kesihatan selain tidak mendapat pendidikan dan keselamatan mereka terancam,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 75 peratus profesional penjagaan kesihatan Myanmar terdiri daripada wanita dan juga merupakan petugas barisan hadapan.

Justeru, UNFPA dan PBB di Myanmar menggesa semua pihak berkepentingan di dalam dan luar negara untuk melaksanakan sepenuhnya komitmen dan tanggungjawab mereka terhadap hak asasi manusia.

Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari, Myanmar berada dalam kancah krisis politik dan kesihatan awam, diburukkan lagi dengan penularan COVID-19. – Bernama