Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    59 peserta memperdengarkan bacaan Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seramai 59 orang peserta bertanding dalam lima kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan 1438 Hijrah yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan ini merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan merupakan antara pengisian Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.

    Dalam pertandingan itu, 12 orang peserta bertanding dalam Kategori A iaitu bagi kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Jun 2005 dan selepasnya di mana mereka menghafaz surah-surah pilihan dan surah-surah lazim dari Juzuk 30 berserta pemahamannya.

    Sepuluh orang lagi peserta iaitu tiga lelaki dan tujuh perempuan bertanding dalam Kategori B murid berumur 17 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Jun 1999 dan selepasnya, dengan menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ar-Rahman, Surah Al-Waqiah, Surah Al-Mulk dan Surah Al-Insan berserta pemahaman Surah Al-Jumuah, Surah Al-Munafiquun dan Surah At-Talak.

    Antara peserta yang menyertai acara tersebut.
    Antara peserta yang menyertai acara tersebut.
    Salah seorang peserta ketika memper-dengarkan bacaannya.
    Salah seorang peserta ketika memper-dengarkan bacaannya.

    Kategori C yang terbuka kepada semua peringkat umur disertai seramai 12 orang peserta iaitu sembilan lelaki dan tiga perempuan yang perlu menghafaz tiga Juzuk Al-Quran dari Juzuk 1 hingga Juzuk 3 berserta pemahaman Juzuk 1.

    Kategori D yang juga terbuka kepada semua peringkat umur pula disertai oleh seramai 12 orang iaitu lima lelaki dan lapan perempuan namun mereka perlu menghafaz 15 Juzuk Al-Quran iaitu dari Juzuk 1 hingga Juzuk 15 berserta pemahaman Juzuk 11.

    Manakala itu, bagi Kategori E yang terbuka bagi semua peringkat umur, seramai 12 orang peserta bertanding menghafaz 30 Juzuk Al-Quran dari Juzuk 1 hingga Juzuk 30 berserta pemahaman Juzuk 22.

    Majlis pengumuman keputusan dan penyampaian sijil bagi pertandingan berkenaan akan diadakan pada 13 April 2017.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda