5G beri impak kepada setiap industri

PUTRAJAYA, 18 April – 5G akan memberi impak kepada setiap industri yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada majlis pelancaran Pameran 5G hari ini, Dr Mahathir berkata industri seperti pembuatan, yang menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun lepas, kekal penting kepada ekonomi negara, dan kira-kira 98.5 peratus daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia adalah dalam dalam sektor pembuatan.

“Menerusi perkilangan pintar atau ‘massive machine-type communications’, kerajaan berharap ia dapat menarik pelaburan dengan nilai tambah yang tinggi, berteknologi tinggi dan berintensif pengetahuan seperti dalam bidang aeroangkasa, kimia dan produk kimia, peralatan jentera, peralatan perubatan dan elektrik serta elektronik,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menaiki kereta pemanduan sendiri yang disambung 5G dari Istana Kehakiman ke Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini untuk ke majlis pelancaran Pameran 5G.

Beliau menaiki kenderaan Proton Exora yang disambung 5G itu bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo selama lima minit.

Kereta 5G pemanduan sendiri itu dibangunkan oleh Ericsson dan Celcom melalui perkongsian dengan eMooVit, sebuah syarikat pemula teknologi tinggi.

Kenderaan pelbagai guna itu dilengkapi dengan sejumlah kamera, radar dan alat pengesan yang membolehkan kenderaan itu mengesan persekitarannya.

Kenderaan itu menggunakan kombinasi alat pengesan, kamera, radar dan kecerdasan buatan (AI) untuk bergerak antara destinasi tanpa pemandu manusia. – Bernama

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencuba operasi Tele-Presence Robot yang dibangunkan oleh Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO)-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ericsson semasa melawat ruang pameran selepas perasmian ‘5G Malaysia Progressing Humanity Showcase’ di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta Pengarah CAIRO-UTM, Prof Madya Ir Dr Ahmad Athif Mohd Faudzi (dua, kanan). – Bernama