Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    5G pencetus perubahan dalam pertanian pintar

    KUALA LUMPUR – Teknologi rangkaian generasi kelima (5G) akan menjadi pemacu utama dalam pertanian pintar berasaskan data di Malaysia yang akan meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil pertanian di dalam negara.

    Menurut Ketua Infrastruktur IT (Teknologi Pertanian Maju dan Data) Sime Darby Plantation, Vijayaananth Arumugam berkata 5G adalah penting untuk pertanian kerana teknologi itu menyediakan operasi cekap tenaga sambil mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

    “Teknologi 5G menggabungkan konsep menguruskan kebun, ladang dengan Internet pelbagai benda (IoT), robotik dan dron sebagai kaedah untuk pertanian pintar. Melaluinya kita boleh meningkatkan kualiti dan juga kuantiti (hasil pertanian). 

    “Ini juga mengoptimumkan tenaga buruh… Rakyat tempatan tidak berminat untuk memetik buah kelapa sawit dan kami dalam proses untuk mengoptimumkannya dengan teknologi dron, robotik malah ia juga membantu memantau tahap kesihatan dan ukuran pokok sawit,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.

    Pertanian pintar atau E-pertanian merujuk kepada penggunaan teknologi seperti IoT, pengesan, sistem lokasi, robot dan kecerdasan buatan di ladang.

    Teknologi rangkaian generasi kelima (5G) akan menjadi pemacu utama dalam pertanian pintar berasaskan data di Malaysia yang akan meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil pertanian.
    Penggunaan dron merupakan dalam bidang pertanian sudah tidak asing ketika ini.

    Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 500 lokasi 5G telah siap di bawah fasa 1 setakat Disember 2021 yang meliputi kawasan di Cyberjaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur, manakala fasa 1B akan menyaksikan pelancaran 3,518 lagi tapak 5G menjelang akhir tahun.

    Digital Nasional Bhd (DNB), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk membangunkan teknologi 5G, komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024.

    Vijayaananth juga berpendapat bahawa pertanian pintar akan membantu menangani masalah sekuriti dan bekalan makanan di Malaysia kerana 5G akan mempercepatkan proses menghasilkan lebih banyak produk berkualiti kepada pengguna dengan bantuan peranti digital.

    “Menerusi 5G, petani boleh mendapat kaedah lebih cekap dalam mendapatkan data tanah dan mempercepatkan pengeluaran.

    Dengan analisis data yang lebih baik, mereka tahu tanah mana yang terbaik, benih apa yang terbaik, bila hendak dituai. Semua ini memainkan peranan penting dalam pertanian digital,” katanya.

    Perkara ini juga selaras dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang sedang merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda sekuriti makanan.

    Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama dalam pertanian moden disegerakan di kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan di Malaysia.

    Selain itu, beliau turut berkata penggunaan 5G akan mewujudkan pekerjaan dengan pelancarannya berada di landasan betul dan menarik lebih ramai siswazah menceburi bidang pertanian pintar kerana negara masih memerlukan tenaga manusia untuk mengendalikan dron, robotik dan analisis data bukan sahaja dalam sektor pertanian tetapi pelbagai industri.

    Sambil memuji usaha kerajaan dalam mentransformasi Malaysia kepada pendekatan digital termasuk melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam membina menara komunikasi baharu di seluruh negara dan menaik taraf rangkaian sedia ada kepada teknologi 4G, beliau berharap kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan 5G di negara ini terutamanya di kawasan luar bandar.

    Beliau berkata ini kerana aktiviti pertanian yang juga satu daripada tulang belakang ekonomi Malaysia, kebanyakannya dijalankan di kawasan luar bandar yang memerlukan talian rangkaian yang bagus untuk mengendalikan peranti teknologi yang dipertingkatkan untuk pertanian atau perladangan.

    Menurut Vijayaananth, kerajaan juga perlu menyediakan bahan, latihan di lapangan dan sesi pemindahan ilmu dari negara lain yang mencukupi kepada petani Malaysia untuk mereka menyesuaikan diri dengan transformasi baharu khususnya dalam kalangan petani generasi lama. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 ditahan lepaskan tembakan ke rumah bintang Bollywood

    AHMEDABAD, 16 APRIL – Dua anggota kumpulan penjenayah terkenal ditahan polis India hari ini kerana melepaskan tembakan ke arah rumah pelakon Bollywood, Salman Khan...