6 cedera rusuhan di pusat tahanan

SYDNEY, 22 JULAI – Sekurang-kurangnya enam orang cedera selepas tahanan berbekalkan senjata sementara menyerang penghuni lain di sebuah pusat tahanan juvana Australia lewat semalam.

Menurut Polis Negeri New South Wales (NSW) hari ini, kejadian yang berterusan di Pusat Juvana Frank Baxter bermula pada petang semalam, membabitkan 20 banduan lelaki berusia dari 12 hingga 18 tahun.

Dilaporkan empat tahanan yang terlibat kini telah menyerah diri selepas menghabiskan sepanjang malam bersembunyi di atas bumbung. Polis masih meneruskan rundingan dengan kumpulan lain.

Dengan beberapa tahanan masih berada di atas bumbung bersenjatakan batang besi, raket skuasy dan senjata lain, ramai polis telah ditempatkan sekitar bangunan Pantai Tengah itu.

“Sumber tambahan telah dihantar dari daerah polis berhampiran serta Skuad Rusuhan, Kumpulan Sokongan Operasi, Unit Anjing, PolAir, Pusat Peronda Lalu Lintas dan Lebuh Raya, Unit Penghapusan Bom dan sumber pakar lain,” kata Polis NSW dalam satu kenyataan.

Masih belum disahkan bagaimana atau mengapa rusuhan bermula. Media tempatan Fairfax berkata tahanan mendapatkan kunci ke bangsal peralatan penjara sebelum menggunakannya untuk menyerang penghuni lain. – Xinhua