6 disabit bersalah rogol, bunuh budak

PATHANKOT, INDIA, 10 JUN – Enam lelaki disabit bersalah hari ini atas kesalahan memperkosa dan membunuh seorang budak perempuan berusia lapan tahun dari puak nomad Islam secara berkumpulan pada 2018 di India yang mencetuskan ketegangan dan ketakutan.

Keganasan seksual, termasuk ke atas kanak-kanak semakin berleluasa di India dan perbuatan kejam yang digelar kes Kathua itu telah menyebabkan kerajaan memperkenalkan hukuman mati ke atas perogol kanak-kanak.

Menurut kertas dakwaan, budak perempuan itu diculik semasa dia sedang membawa keluar kuda meragut rumput dan dia dibawa ke sebuah kampung di daerah Kathua, rantau Jammu utara India pada 10 Januari tahun lepas.

Dalam pengalaman getir selama lima hari, budak itu diberikan sedatif dan ditahan di sebuah kuil Hindu, berulang kali dirogol dan kemudian dicekik dan dipukul hingga mati.

Siasatan menunjukkan yang budak perempuan itu telah disasarkan bagi mencetuskan ketakutan dalam masyarakat nomadnya dan bagi mengusir mereka keluar dari kawasan tersebut.

Enam lelaki Hindu tersebut dijangka akan dijatuhkan hukuman kemudian, kata peguam pendakwa raya, Mubeen Farooqui kepada para wartawan di luar mahkamah khas di Pathankot, di negeri Punjab.

Mereka berdepan hukuman mati dengan hukuman minimum penjara seumur hidup. Lelaki ketujuh bebas daripada tuduhan sementara lelaki kelapan, yang didakwa masih di bawah umur, berdepan perbicaraan berasingan.

“Kami akan merayu atas sabitan itu di mahkamah tinggi,” kata peguam bela H.S. Pathania. – AFP