Tuesday, April 16, 2024
31.7 C
Brunei

    -

    6 Ditahan dalam lima operasi JKED

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Enam orang telah ditahan dan pelbagai barangan tegahan telah dirampas dalam empat gerakan operasi dan satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di kawasan Lumut, Kuala Belait, Kampung Kianggeh, Kampung Saba Tengah dan Kampung Selangan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, menyatakan bahawa hasil daripada gerakan operasi pertama yang dijalankan pada 24 April lalu, di kawasan pondok perhentian bas Lumut, Daerah Belait, JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara Indonesia berumur 49 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan aktiviti penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Gerakan itu telah berjaya merampas sebanyak enam karton dan 24 peket rokok pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah $7,515 dan RM5 yang dipercayai hasil daripada penjualan barang tegahan kastam.

    Hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada 26 April lalu, di kawasan semak berhampiran dengan pondok perhentian bas Lumut, Daerah Belait, JKED telah berjaya merampas sebanyak 38 karton rokok pelbagai jenis.

    Sementara itu, hasil operasi ketiga yang dijalankan pada 27 April di Kampung Kianggeh, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki penduduk tetap berumur 60 tahun dan merampas sebanyak 25 tin minuman keras.

    Antara barang tegahan yang telah dirampas semasa operasi yang dijalankan oleh JKED. – Gambar serahan JKED

    Pada hari yang sama, jelas kenyataan itu lagi, hasil gerakan operasi keempat di sebuah rumah di kawasan Kampung Saba Tengah, telah berjaya menahan dua orang adik-beradik iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan, masing-masing berumur 20 dan 22 tahun yang dipercayai memiliki serta terlibat dengan aktiviti penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Hasil gerakan itu, telah berjaya merampas sebanyak 60 karton, 163 peket dan 21 batang rokok pelbagai jenis serta 36 botol minuman keras pelbagai jenis. Selain itu, turut dirampas adalah sebanyak 47 kotak dan empat paket mercun pelbagai jenis.

    Manakala itu, gerakan operasi sepadu yang dilaksanakan pada 28 April bersama Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) bagi pemeriksaan sebuah rumah di kawasan Kampung Selangan Bokok, Temburong, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 44 tahun.

    Hasil gerakan itu telah berjaya merampas sebanyak 275 botol minuman keras pelbagai jenis, satu peket serta lapan batang rokok pelbagai jenis. Selain itu, turut dirampas ialah sebanyak 12 kilogram daging beku jenama Flanz.

    Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barangan tengahan telah dirampas dan kesemua individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED dalam kenyataannya lagi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindar daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan serta jua larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...