6 ditahan dipercayai terlibat ceti haram

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Enam orang warga tempatan, empat lelaki dan dua wanita, telah ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah peminjaman wang tanpa lesen.

Kesemua mereka telah ditahan baru-baru ini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Keenam-enam suspek berkenaan ialah Sariffudin bin Haji Sidop, 41; Julai bin Abu Samah, 37; Yahya bin Osman, 39; Noor Saifan bin Haji Garip, 45; Hajah Fadzliah binti Haji Matassan, 40, dan Lealy Roearni binti Untong, 39.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Pemberi Pinjam Wang Bab 62 dan kesalahan pembersihan wang haram di bawah Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.

Penahanan berkenaan adalah hasil maklumat daripada agensi-agensi penguatkuasaan dan orang ramai.

PDB dalam kenyataannya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan percaya akan sebarang iklan-iklan haram berkaitan pinjaman wang segera daripada ceti-ceti haram. Orang ramai juga disarankan agar bertindak lebih bijak sebelum terlibat dan melakukan sebarang urusan pinjaman daripada mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah, dapatkan pinjaman wang melalui urus niaga bank yang diiktiraf dan diakui kepercayaannya.

PDB turut memohon kerjasama orang ramai untuk sentiasa tampil dan memberikan sebarang maklumat bagi membanteras dan menurunkan kadar jenayah di negara ini.