6 kemalangan maut separuh pertama 2020

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) diamanahkan untuk melaksanakan strategi ke arah mencapai matlamat untuk menyelamatkan nyawa semua pengguna jalan raya dan mewujudkan persekitaran keselamatan jalan raya yang selamat untuk pengguna jalan raya dan masyarakat.

Walaupun mengikut statistik yang dikongsi oleh Pasukan Polis Diraja Brunei menunjukkan penurunan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya pada setengah tahun 2020, namun kita tidak boleh leka dan perlu memperbanyakkan usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan pembudayaan pemanduan berhemah bagi semua pengguna jalan raya.

Tahun ini, enam kes kemalangan maut direkodkan berbanding lapan kes kemalangan maut bagi tempoh yang sama pada 2019.

Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Duta MKKJR, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad semasa Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Rebiu Pertengahan Tahun Statistik Kemalangan dan Kesalahan Jalan Raya yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

Beliau menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan di jalan raya dan pihak MKKJR berharap mesej bagi membudayakan tabiat keselamatan semasa memandu, cermat dan prihatin sampai kepada orang ramai.

Yang Berhormat Awang Iswandy (dua dari kanan) memberikan penerangan semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.

“Ini termasuk khasnya mematuhi semua undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalu lintas di samping hormat-menghormati hak sesama pengguna ketika berada di jalan raya.

“Hargailah nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain dan sentiasa ingat bahawa hadiah terbaik buat keluarga kita adalah untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat. Ini juga termasuk memastikan kenderaan kita sentiasa dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,” tambah Yang Berhormat Awang Iswandy.

Sementara itu, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof menyatakan bahawa salah satu aspek penting dalam menangani keselamatan jalan raya ialah kesedaran awam.

Dalam hubungan itu, MKKJR akan terus meningkatkan usaha-usaha memberigakan dan meningkatkan budaya keselamatan jalan raya melalui pelbagai cara termasuk melalui media massa seperti televisyen dan radio, media sosial, kaunter-kaunter kerajaan, laman web serta melalui kaedah Ikrar Keselamatan Jalan Raya yang telah mencapai 10,760 ikrar sejak 1 Disember 2018.

Dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan, topik khas mengenai keselamatan jalan raya telah diserapkan dalam sukatan mata pelajaran Melayu Islam Beraja bagi semua penuntut dari Tahun 1 hingga 10 di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara.

Di samping itu, jelasnya lagi, beberapa pertandingan telah diadakan termasuk Peraduan Pembuatan Video Keselamatan Jalan Raya. Satu Pertandingan Menulis Storyboard bagi sebuah permainan berunsurkan keselamatan jalan raya juga akan dimulakan pada awal September nanti.

MKKJR berharap menerusi usaha itu, ia akan memupuk budaya keselamatan jalan raya bermula daripada usia enam tahun melalui aplikasi permainan dalam talian.

Aplikasi tersebut akan mendedahkan sekali gus mendidik dan membangun budaya bagi kanak-kanak mengenai aspek-aspek keselamatan di jalan raya.

Dengan pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan, adalah diharapkan mereka sendiri dapat menerapkan nilai-nilai keselamatan jalan raya bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada ibu bapa serta keluarga dan rakan sebaya.