6 kes baharu, 46 peratus kes positif tiada simptom

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Negara Brunei Darussalam mencatatkan enam lagi kes baharu COVID-19 yang disahkan, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini seramai 126 orang.

Dalam pada itu, sebanyak 46 peratus kes positif di negara ini dikesan tanpa atau tidak menunjukkan sebarang simptom (laporan lanjut di Muka 3), menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kes 121 merupakan warga tempatan yang berumur 21 tahun yang telah menghadirkan diri untuk menjalani ujian makmal bagi COVID-19 di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 27 Mac.

Yang Berhormat Menteri kesihatan mengatakan bahawa kes ke-121 ini masih lagi dalam penyiasatan.

Sementara itu, kes 122 berumur 67 tahun merupakan suami kepada kes 116 di mana beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula bergejala pada 23 Mac.

Kes 123 pula berumur 19 tahun dan pulang ke negara ini dari Melbourne, Australia pada 19 Mac dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI006 (tempat duduk 30A) dan mula bergejala pada 19 Mac lalu. Kes 124 yang berumur 30 tahun ialah isteri kepada kes 120, yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan.

Kes 125 yang berumur 51 tahun pula telah pulang ke negara ini selepas melancong bersama keluarganya ke Thailand dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI514 (tempat duduk 34A) pada 21 Mac dan mula bergejala pada 23 Mac.

Sementara itu, kes 126 berumur 31 tahun mempunyai sejarah keluar negara iaitu melancong ke Austria pada 7 Mac dan pulang ke negara ini melalui London dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI004 (tempat duduk 40D) pada 15 Mac. Walau bagaimanapun beliau telah membuat pengasingan diri sebaik saja tiba ke negara ini dan telah mula mengalami sakit kepala dan sakit tekak pada 17 Mac.

Sidang media pada petang tadi turut memperdengarkan berita baik apabila Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa sembilan lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah.

Dengan bertambahnya bilangan kes yang disahkan sembuh tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 34 orang, bermakna pada ketika ini terdapat 91 kes yang masih dirawat di pusat berkenaan.

Setakat hari ini, dua kes masih berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di pusat tersebut sementara tiga orang lagi memerlukan pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan yang baik.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa pada masa ini, seramai 917 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala seramai 1,298 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.