6 kontak kes dikenal pasti, jalani kuarantin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti enam orang kontak kes selepas satu kes yang melibatkan warga asing yang kembali ke Malaysia dari Brunei didapati positif COVID-19.

Kesemua daripada mereka telah pun menjalani ujian makmal COVID-19 dan didapati negatif, dan juga sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Negara Brunei Darussalam, tambahnya, terus mencatatkan sifar kes baharu bagi jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh ialah seramai 138 orang.

“Pada masa ini, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media berkenaan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media berkenaan, kelmarin.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 130 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 19,516 ujian, jelasnya lagi.

Mengenai Aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa setakat ini sejumlah 258,832 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.

Manakala, sejumlah 4,635 syarikat dan premis juga telah mendaftar bagi aplikasi tersebut.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato mengesyorkan kepada orang ramai yang belum mendaftar untuk memuat turun dan mendaftar ke aplikasi BruHealth tersebut.

“Kerjasama orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth serta mengimbas QR code di tempat keluar masuk premis akan sedikit sebanyak memastikan keselamatan orang ramai termasuk penjual dan pelanggan terjamin serta akan memudahkan Kementerian Kesihatan untuk membuat contact tracing sekiranya ada penularan jangkitan berlaku,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengingatkan kepada pemilik-pemilik restoran, gerai-gerai dan food court, mestilah memastikan pekerja-pekerja mereka yang mengendalikan dan menyediakan makanan untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung (facemask).
“Ini adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan dan menjaga kebersihan makanan yang disediakan kepada pelanggan,” tekan beliau.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.