6 korban bangunan runtuh

MUMBAI, 25 Julai – Kira-kira enam orang maut apabila bangunan empat tingkat runtuh di bandar kewangan Mumbai, India, hari ini, dalam insiden terbaru yang menunjukkan standard pembinaan yang kurang memuaskan di negara itu.

Para penyelamat telah mengeluarkan puluhan yang lain dalam runtuhan itu hidup-hidup dengan beberapa daripadanya mengalami cedera parah, selepas struktur itu runtuh pada awal pagi di utara sub bandar Ghatkopar, kata para pegawai.

“Jumlah kematian kini enam orang. Kami rasa kira-kira 15 lagi mungkin terperangkap dan operasi menyelamat masih lagi diteruskan,” Tanaji Kamble, seorang jurucakap pengurusan bencana bagi badan pentadbiran awam Mumbai memberitahu AFP.

Bangunan runtuh sering terjadi di India, terutamanya semasa musim monsun tahunan yang biasanya berlaku dari lewat Jun hingga September.

Para pekerja menyelamat India mencari mangsa dalam runtuhan di tapak bangunan runtuh di Mumbai pada 25 Julai. – AFP
Para pekerja menyelamat India mencari mangsa dalam runtuhan di tapak bangunan runtuh di Mumbai pada 25 Julai. – AFP

Dalam insiden yang berasingan hari ini, sebuah bangunan runtuh separuh di Kolkata timur India selepas beberapa hari hujan turun. Beberapa orang masih terperangkap dalam runtuhan itu, namun belum ada korban jiwa dilaporkan.

“Anggota bomba cuba untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di bawah runtuhan,” kata G P Ghosh, pengarah perkhidmatan bomba di negeri Barat Bengal. – AFP