QUETTA, PAKISTAN, 21 MEI – Enam orang terbunuh dan puluhan lain cedera hari ini apabila sebutir bom tepi jalan meletup berhampiran sebuah kenderaan yang membawa seorang pemimpin parti politik Islam tempatan di Pakistan, kata jurucakap polis dan kerajaan.
Masih tidak jelas dalang di sebalik serangan di Chaman, bandar di barat daya wilayah Baluchistan.
Ketua polis tempatan Abdul Bashir berkata serangan berlaku apabila Abdul Qadir, pemimpin tempatan puak parti Jamiat Ulema-e-Islam, sedang dalam perjalanan untuk menghadiri rapat dalam sokongan terhadap penduduk Palestin.
Tidak ada sesiapa yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan dan polis berkata mereka masih menyiasat.
Liaquat Shahwani, jurucakap kerajaan wilayah di Baluchistan, mengecam serangan tersebut. Ia berlaku ketika penduduk Pakistan di seluruh negara berkumpul untuk rapat antiIsrael.
Pengeboman berlaku beberapa jam selepas Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi mengalu-alu gencatan senjata di antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas yang memerintah Gaza. Pakistan mahu penyelesaian aman terhadap isu Palestin. – AP
