IDLIB, 6 NOV – Sekurang-kurang enam orang dilaporkan terkorban, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan di kawasan barat laut Syria yang dikuasai kumpulan pemberontak, awal pagi tadi.
Tentera kerajaan Syria didakwa melancarkan serangan itu yang mengenai khemah didiami penduduk yang hilang tempat tinggal akibat konflik berterusan di negara ini.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang bertindak sebagai pemantau perang pembangkang dan berpangkalan di Britain, mendakwa tentera kerajaan telah membedil kira-kira 30 roket ke arah kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak, termasuk kem penempatan Maram yang terletak di barat laut Idlib.
Serangan berkenaan dilapor menyebabkan sekurang-kurang enam maut, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, manakala 25 lagi cedera.
Berikutan dengan kejadian itu, kumpulan pemberontak didakwa melakukan serangan balas dengan melancarkan peluru berpandu dan artileri yang menyasarkan kedudukan kerajaan di Saraqib di timur Idlib serta dataran al-Ghab.
Pertahanan Awam Syria daripada pembangkang – turut dikenali sebagai Helmet Putih – mendakwa enam maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, selain 75 lagi cedera, dalam serangan yang menyasarkan sekurang-kurang enam kem di barat ibu negara Syria. – AP
