6 maut nahas tiga kenderaan

LAHAD DATU, 10 JUN – Enam maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku berhampiran Kampung Membatu dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah ketika dihubungi berkata kejadian itu berlaku pada 8:30 pagi membabitkan sebuah treler, kenderaan jenis Isuzu Dmax dan sebuah Proton Saga.

Beliau berkata dalam kejadian itu treler berkenaan terjunam sedalam 18 meter manakala dua buah lagi kenderaan remuk.

“Mangsa (yang meninggal dunia) adalah pemandu treler, pasangan suami isteri dalam kenderaan Isuzu Dmaz serta tiga individu dalam Proton Saga, (mereka) tersepit dalam kenderaan,” katanya.

Kamarulzaman berkata kesemua enam mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan. – Bernama