6 mukim mempunyai lebih 80 kes positif

Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Antara 3 hingga 9 Oktober lalu, terdapat enam buah mukim yang mempunyai kes positif melebihi 80.

Mukim-mukim tersebut adalah Mukim Berakas A (112 kes), Mukim Sengkurong (109 kes), Mukim Gadong B (91 kes), Mukim Mentiri (83 kes), Mukim Pekan Tutong (102 kes) dan Mukim Kuala Belait (128 kes).

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan hasil penelitian yang telah dijalankan mengenai keberadaan kes-kes positif yang dikesan di negara ini semasa sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada apabila berada di luar rumah, terutama sekali di kawasan-kawasan yang disenaraikan dalam zon merah.

Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati semasa berada di luar rumah untuk berjumpa orang terutama sekali pada siang hari disebabkan kawasan zon merah itu kebanyakannya adalah kompleks-kompleks dan premis membeli-belah.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa premis-premis dan kedai-kedai juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan para pengunjung yang memasuki premis dan kedai mereka agar diperiksa kod BruHealth terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.

Rajah menunjukkan taburan kes positif COVID-19 mengikuti mukim di seluruh negara. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan